Followers

Wednesday, January 12, 2011

IMAM AL-GHAZALI (450-505 H/1059-111 M)

     Imam al- Ghazali ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, dilahirkan di kota Tus sebuah kota wilayah Khurasan di negeri Persia pada tahun 450 Hijrah/1058 Masihi dan wafat pada tahun 505 Hijrah/111 Masehi. Beliau merupakan seorang  berketurunan Parsi dan hidup di sekitar masa berlakunya perang salib. Ayahnya seorang pemintal benang. Setelah ayahnya meninggal dunia, beliau dijaga oleh seorang ahli tasawuf

       Al-Ghazali mula berminat mengkaji bidang pendidikan setelah berguru dengan Ali bin Ahmad al-Radzikani, Abu Nashr al-Ismaili dan Imam al-Haramain Abi al-Maali al-Juwairi. Beliau mendapat pendidikan asas dengan menghafal al-Qur’an, pelajari asas-asas membaca dan menulis, ilmu nahu bahasa arab, matematik, fiqah dan lain-lain lagi.


       Beliau juga mempelajari ilmu falsafah untuk menyelamatkan dirinya sendiri daripada perasaan syak atau keraguan, di samping untuk mendapatkan rahsia yang akan dijadikan panduan untuk sampai kepada hakikat atau kebenaran. Selain itu, beliau juga mempelajari ilmu kalam atau tauhid dan ilmu akhlak sehingga dapat mencipta satu metode tersendiri dalam bidang akhlak ini, iaitu merupakan metode keagamaan yang berdasarkan kepada realiti sebagai asas pengkajiannya.
      Pada tahun 478 hijrah, Imam al-Ghazali telah menampilkan dirinya kepada Nazham al-Mulk yang merupakan menteri kerajaan pada masa itu. Beliau membentangkan pendapatnya dalam pelbagai bidang yang dikuasainya. Saranannya telah mendapat perhatian lalu beliau diberi tugas mempertahankan akidah ahli Sunnah Wa Jamaah daripada serangan golongan kebatinan yang mula berleluasa. Pada tahun 484 hijrah, beliau ditugaskan menjadi guru di Madrasah Nizamiyyah sehingga menjadi tokoh pendidikan dan mendapat gelaran Imam Iraq. 
     Setelah empat tahun beliau menjadi guru, beliau pun bersara dan menunaikan haji lalu menetap di Masjid Jamic Umawi. Beliau menjalani hidup dengan beribadah, melatih diri menjauhi perkara-perkara yang shubhah dan haram, mengembara dari satu tempat ke satu tempat serta hidup dalam dunia yang dipenuhi dengan nilai-nilai kerohanian. Imam al-Ghazali juga dikenali sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan yang kritis, ahli fikir yang cemerlang dan luas pandangan dalam kehidupan. Beliau mencari kesempurnaan dengan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Beliau juga dianggap sebagai reformis masyarakat.
                                                   PEMIKIRAN & SUMBANGAN AL-GHAZALI
       Al-Ghazali disifatkan sebagai seorang ensiklopedia pada zamannya kerana pengetahuannya yang meliputi berbagai-bagai bidang keilmuan dan keahliannya dalam bidang-bidang tersebut, seperti ilmu usul, fiqah, tauhid, falsafah, pendidikan dan tasawuf.
     Di dalam kitabnya, Al-Ghazali menyatakan bahawa unsur-unsur yang ada dalam diri manusia ini terdiri daripada hati, roh, akal, dan nafsu. Beliau banyak mengkaji berkenaan jiwa manusia iaitu:-
  • Kajian tentang kebiasaan dan pembentukannya.
  • Kajian tentang kemahuan dan kepelbagaian. 
  • Kajian tentang pengamatan dan kekuatannya 
  • Kajian tentang ingatan dan cara mengekalkannya. 
  • Kajian tentang khayal dan fungsi-fungsinya 
      Pendapat dan buah fikiran serta hasil karyanya mendapat perhatian yang sangat mengagumkan daripada pelbagai pihak. Antara jasa dan karya sumbangan al-Ghazali yang sangat penting dan utama adalah seperti berikut: 
 
1) Ilmuan pendidikan.  
     Al-Ghazali  mempunyai pandangan yang sangat bernas dalam bidang pendidikan dan pengajaran. Melalui pandangannya tentang perkara ini beliau telah menjelaskan kewajipan ibu bapa terhadap anak-anak mereka, di samping kewajipan murid dan juga guru berteraskan dasar kehidupan yang selari dengan teori-teori pendidikan moden. Dalam bidang pendidikan kanak-kanak, al-Ghazali memberikan peringatan bahawa ibu bapa perlu memandu anak-anak mereka ke arah suatu matlamat tertentu, bukan membiarkan anak-anak memilih sendiri bidang yang disukainya. Hal ini agak bercanggah dengan kecenderungan pendapat ahli-ahli pendidik sekarang, bahawa mereka lebih suka membiarkan anak-anak memilih sendiri bidang yang hendak diceburinya. Menurut al-Ghazali, sekiranya anak-anak dibiarkan memilih sendiri bidang yang digemarinya, berkemungkinan akan berlakunya pemilihan yang tidak tepat dan membawa perkara negatif dan buruk. Dengan sebab itu, beliau menekankan bimbingan ke arah pemilihan itu sangat penting lantaran anak-anak sangat terhad pemikirannya.
     Al-Ghazali berpandangan bahawa pelajar perlulah membersihkan diri atau jiwa daripada akhlak dan budi pekerti yang buruk serta sifat tercela, mengurangkan hubungan dengan kesibukan dunia, tidak boleh bermegah dengan pengetahuan yang dimiliki, dilarang membuat helah atau menipu guru, malah perlu melaksanakan suruhannya dan mematuhi nasihatnya, seperti kepatuhan seorang pesakit kepada doktornya. Bagi al-Ghazali, matlamat pengajian adalah untuk mendapat kesempurnaan diri/jiwa dan bertujuan melengkapkan/memperbaiki diri dengan sifat dan akhlak yang terpuji. 
      Guru atau pendidik pula mesti mempunyai perasaan kasihan belas kepada para pelajar, dan cuba mengasihi mereka seperti anak sendiri. Ketika menjalankan tugas guru seharusnya mengikut sifat Nabi Muhammad SAW dengan tidak meminta dan menentukan sebarang upah, malah tidak mengharapkan ucapan terima kasih, sebaliknya mengajar semata-mata kerana Allah SWT. Guru juga perlu mengukur kemampuan pelajar serta kefahaman mereka dan tidak memberikan sesuatu yang tidak boleh dicapai oleh otak atau fikiran mereka. Malah seseorang guru hendaklah beramal dengan ilmunya dan perbuatan tidak menyalahi percakapannya sendiri. Mereka tidak harus menasihatkan murid supaya tidak melakukan sesuatu, sedangkan mereka sendiri melakukannya. Ini akan memberi gambaran dan kesan buruk kepada  pelajar terhadap guru serta hilang kepercayaan dan penghormatan terhadap mereka.
  
2) Hasil karya al-Ghazali. 
      Seorang yang sangat luas pengetahuannya dalam pelbagai bidang, merangkumi ilmu agama, falsafah, tasawuf dan lain-lain. Beliau telah menghasilkan begitu banyak buku karyanya yang merangkumi berbagai-bagai bidang dengan pelbagai judul. Buku-buku karyanya menjadi tumpuan dan perhatian masyarakat umum, sama ada di kalangan orang Arab dan Islam ataupun golongan orientalis Barat dan bukan Islam. Antara karya dan bidang ilmu yang dihasilkan oleh beliau adalah seperti berikut:- 
a. Ilmu agama dan aqidah
  •  Kitab al-Iqtisad fi al-I’etiqad dalam bidang ilmu tauhid (al-kalam), iaitu perbicaraan tentang zat, sifat dan perbuatan Allah SWT, juga kupasan tentang penentuan kenabian dan kerasulan Muhammad SAW serta membenarkannya. 
  • Kitab Ihya’ Ulum al-Din membicarakan empat tajuk, iaitu Al-’Ibadat, al-’Adat, al-Muhlikat, dan al-Munjiyat. Ia merupakan kitab al-Ghazali yang paling terkenal dan telah dihuraikan serta dirngkaskan oleh ramai ulama selepasnya. Kitab ini telah diterjemah ke pelbagai bahasa seperti Parsi, Turki, Jerman, Urdu, Melayu dan lain-lain. 
  • Kitab Kimiya’ al-Sa’adah, iaitu perbincangan tentang diri, hati, kelazatan dan kebahagiaan. Kitab ini dicetak dalam bahasa Parsi dan diterjemahkan ke bahasa Turki dan Inggeris.  
b. Ilmu Tasawuf·  
  •  Kitab Ihya’ Ulum al-Din yang membicarakan dalam bidang ilmu  agama dan akidah kerana perbahasannya, termasukla ilmu tersebut di samping perbicaraan tentang ilmu tasawuf. Selain itu ia menekankan tiga perkara pokok sebagai asas bagi pendidikan iaitu kelebihan ilmu, penjenisan ilmu serta asas kurikulumnya dan disiplin guru dan murid. 
  • Kitab Al-Arba’in fi Usul al-Din, iaitu perbicaraan tentang asal-usul ilmu, amalan-amalan zahir, pembersihan hati daripada akhlak buruk/keji, dan galakan supaya berakhlak baik/terpuji
  • Kitab Ayyuha al-Walad, iaitu suatu risalah kecil tetapi dikira antara karyanya yang paling penting, merupakan nasihat kepada muridnya tentang ilmu terbaik yang terdiri daripada lapan perkara. Kitab ini diterjemahkan ke bahasa Turki dan dicetak beberapa kali.
c. Ilmu Falsafah dan Logik  
  • Kitab Maqasid al-Falsafiyah, iaitu sebagai pendahuluan kepada kitabnya yang terkenal Tahafut al-Falasifah, dengan membentangkan pelbagai pendapat ahli falsafah. Kitab ini diterjemahkan ke bahasa Latin, Sepanyol dan ’Ibri/Hibrew dan tersebar dengan meluas. 
  • Kitab Mi’eyar al—’Ilmi fi al-Mantiq, iaitu perbicaraan tentang pencapaian ilmu pengetahuan dan jenis-jenisnya, mengandungi empat buah kitab, iaitu al-Hudud dan al-Wujud. Kitab ini diterjemahkan ke bahasa Sepanyol. 
  • Kitab Al-Munqidh Min al-Dalal, iaitu antara kitab yang paling ulung oleh al-Ghazali. Kitab ini membicarakan penghidupan dan kemajuan pemikirannya sendiri dalam pelbagai hal.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.